Thursday, February 5, 2009

Pembekuan pekerja asing langkah bantu penduduk tempatan


KEPUTUSAN kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor elektronik dan tekstil berkuatkuasa 1 Januari lalu, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing berikutan kelembapan ekonomi global, amat dialu-alukan. sudah banyak syarikat khususnya dalam sektor pembuatan sama ada ditutup atau terpaksa mengurangkan saiz operasinya, menyebabkan ramai pekerja diberhentikan, sekali gus mengecilkan jumlah pekerja. Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjangka hampir sejuta pekerja tempatan yang kini bekerja dalam pelbagai sektor, termasuk elektronik dan pembuatan akan diberhentikan menjelang hujung tahun ini jika pengambilan pekerja asing tidak dihentikan segera. Namun, kita belum pasti lagi sama ada pekerja tempatan berupaya untuk mengisi kekosongan itu nanti apabila pekerja asing dikeluarkan. Kita sedia maklum kebanyakan pekerja asing, khususnya dari Indonesia tekun bekerja, jarang mengambil cuti sakit, malah jarang bercuti kerana mahu mendapatkan rezeki sebanyak mungkin, menjadi punca sebenar majikan lebih gemar menggajikan mereka. Namun, kita berharap dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pekerja tempatan, terutama mereka yang diberhentikan kerja boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing itu nanti. Zaman memilih kerja perlu dikikis kerana dengan bekerja, walaupun tidak setara dengan kelulusan, ia lebih baik daripada menganggur. Dengan keputusan kerajaan itu, kita juga berharap lebih 270 syarikat dan ejen pengambilan pekerja asing tempatan menyegerakan pemberhentian pengambilan tenaga buruh asing supaya rakyat tempatan tidak perlu bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan.

1 comment:

  1. pembekuan tersebut ada baik dan buruknya, sebab tak ramai penduduk tempatan sekarang yang nak bekerja di kilang2. tak standard katanya. memang pekerja asing perlu dipuji kerana sikap mereka yang rajin. susah kita nak dapat pekerja yang seperti diorang. kalau ada pun tak ramai.

    ReplyDelete