Saturday, February 7, 2009

Salah Satu Keajaiban Dunia


SPAGETI, pizza dan Sophia Loren. Nama dua juadah tradisional dan aktres tidak dimamah usia yang pernah merangkul anugerah berprestij, Oscar ini cukup menggambarkan pesona yang menanti di Itali.

Peluang berkunjung ke ibu kota fesyen dunia, Milan atau dalam bahasa Itali, Milano, baru-baru ini sungguh mengujakan dalam mengenali keunikan dan rahsia tersembunyi di negara yang memiliki banyak kota hebat seperti Rome, Florence dan Venice ini.

Milan yang menjadi bandar kedua terbesar di Itali, sarat dengan elemen kota metropolis. Sesuai dengan jolokan ibu kota fesyen dunia sebaris Paris, New York dan Tokyo, nadi ibu kota ini tertumpu kepada kegiatan ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan seni terutama fesyen.

Penulis yang tiba di Milan selepas perjalanan hampir lapan jam dari Bregenz, Austria bersama rombongan The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd, tidak sabar meneroka keunikan bandar raya ini sebaik keluar dari tren di Stazione Centrale di Milano atau Milano Centrale.

Dibuka pada 1864, stesen rel utama Milan ini melalui beberapa fasa pengubahsuaian sesuai dengan statusnya sebagai stesen transit malah menjadi antara stesen utama rel merentasi benua Eropah. Biarpun tanpa stail seni bina khusus, Milano Centrale nampak gah dengan gabungan pelbagai gaya seperti Liberty dan Art Deco yang menterjemah makna tersendiri.

Destinasi pertama yang dikunjungi di Milan sudah pasti Piazza del Duomo yang menjadi antara dataran paling meriah di benua Eropah. Mudah dikunjungi dengan menaiki sistem transit, Metropolitana Milanese dan berhenti di stesen Duomo, dataran ini pasti memukau siapa saja.

Piazza del Duomo dikelilingi beberapa bangunan hebat seperti Duomo iaitu sebuah cathedral atau gereja gothic yang dibina hasil gabungan idea dan kreativiti arkitek serta pengukir Itali, Perancis dan Jerman.

Leka melihat kehalusan seni ukir atas marmar dan keseragaman motif pada setiap menara, kehadiran senja tidak disedari penulis. Saat itu paling indah apabila Piazza del Duomo tiba-tiba ditenggelami cahaya suram lalu menerbitkan panorama menakjubkan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Bertentangan Duomo, arked beli-belah, Galleria Vittorio Emanuele yang menempatkan deretan kafe, restoran, kedai buku dan butik mewah yang wajib dikunjungi. Jika tidak membeli-belah sekali pun, pengunjung sewajarnya meluangkan masa bersantai di kafe sambil menikmati kopi atau hidangan Itali yang asli dan enak di sini.

FAKTA: Milan

* Bandar raya kedua terbesar di Itali
* Penduduknya mencecah 1.5 juta orang
* Milan dianggap pusat fesyen dunia kerana menempatkan ibu pejabat dan syarikat jenama fesyen ternama seperti Gucci, Prada, Armani, Versace dan Dolce & Gabbana.
* Lewat abad ke-18 hingga ke-19, Milan menjadi pusat utama perbincangan intelektual dan kreativiti kesusasteraan
* Antara tarikan utamanya adalah litar lumba Monza Formula One, antara litar lumba kereta tertua dunia
* Turut dikenali kerana menu makanan popular, Risotto

1 comment:

  1. sayang takda gambar. kalau tak mesti teruja baca tajuk ni. yela kita bukannya dapat peluang untuk melancong ke luar negara, tapi dengar cerita dan gambar boleh membuatkan kita terasa seperti berada di sana. satu lagi, kita dapat lihat makanan risotto tu macam mana. bunyi nya macam sedap, tapi diperbuat daripada ape ek?

    ReplyDelete